Bandar Avalon
16 Julai 2050
The Grand Sky Hall di Bandar Avalon kelihatan seperti ia sedang terapung tinggi. Ia merupakan sebuah binaan yang dibuat dari dinding kaca dan kristal. Lantainya dilapisi oleh karpet baldu tebal yang menelan bunyi derapan tapak kaki yang melangkah, tidak mengganggu suasana keraian.
Ramai. Terlalu ramai yang ada di sini. Semuanya adalah jemputan khas kerana hanya mereka yang berpengaruh dan berkuasa sahaja benar-benar layak untuk berada di sini. Terutamanya untuk malam yang istimewa seperti malam ini.
Malam ini adalah ulang tahun kesepuluh Zoran, sebuah ‘Dunia Kedua’ yang pada mulanya bermula sebagai sebuah VRMMORPG atau dalam bahasa paling mudah faham—dunia permainan video.
Sepuluh tahun Guild Wars, penerokaan dan penaklukan dungeons, misi dan kelahiran serta kematian pemain-pemain legenda Zoran. Hari ini, seribu individu dari Bandar Avalon yang tersenarai dalam senarai Zoran Top Rookie, Top Master dan Top Legend, berkumpul.
Zen Voss, salah seorang Top 10 Rookie, ada di situ.
Beberapa tahun lalu, tiada sesiapa yang mengenalinya. Dia bukan sesiapa. Kini, pada usia tiga puluh tahun, wajahnya sering dikaitkan dengan kemenangan dan kemahsyuran. Dia berada di landasan terbaik untuk menakluki kedua-dua dunia—Bumi dan Zoran.
“Ramai betul malam ni,” gumam Zen perlahan sambil matanya memerhati mereka yang lain. Dia memakai tuksedo berwarna merah saga, warna yang sangat menonjol dan mencuri tumpuan dalam lautan sut hitam. Ia ditempah khas dan sengaja ditempah sebegitu. Setiap mata di dewan itu mengikutinya.
“Oh. Itu ke Zen Voss?” ujar salah seorang jemputan wanita. “Boleh tahan handsome.”
“Budak baru naik. Biasalah,” kata seorang lelaki bertubuh tegap di sisi wanita tersebut.
Wanita itu tidak membalas. Dia hanya tersenyum kecil sambil matanya terus memandang Zen. Tindakan wanita itu tidak dapat diselindung dari mata lelaki tersebut sekaligus membuatkannya sedikit cemburu.
Kau tahulah nasib kau selepas ini, getus hati lelaki itu.
Zen tidak peduli dan mengabaikan segala pandangan atau tanggapan orang lain terhadap dirinya. Matanya sejak dari tadi melilau, mencari seseorang.
“Zen!” laung satu suara garau seorang lelaki, namun nadanya ceria.
“Wilfred,” Zen menyahut dengan menyebut nama lelaki tersebut sambil tersenyum.
Wilfred adalah sahabat baiknya. Ketua Zenith Guild, tempat di mana Zen menabur khidmat dan baktinya. Wilfred memakai sut hitam sama seperti mereka yang lain namun ada satu objek yang menarik perhatian sesiapa sahaja. Ia adalah sebuah lencana logam berwarna perak, dengan logo Zoran dan tiga bintang di atasnya.
Lencana logam itu berkilat di dada kirinya. Semua orang tahu apakah ia.
Itu adalah lencana Three-Star Guild.
Di Bandar Avalon, terdapat hanya lima sahaja Three-Star Guild, satu Four-Star Guild dan belum ada lagi Five-Star Guild. Jadi, Zenith boleh dikira sebagai ‘kuasa besar’ di sini.
Zen tersenyum saat terpandang lencana tersebut yang datang dari usaha keras mereka semua selama bertahun-tahun. Wilfred menghulurkan tangan sebelum berpeluk seperti sahabat yang sudah lama tidak bertemu.
“Jom ambil angin luar?” bisik Wilfred sewaktu berpelukan.
“Jom,” balas Zen sambil mengangguk.
Mereka berdua melangkah perlahan ke balkoni. Tidak ramai yang berada di situ. Angin malam di kawasan ini terasa lebih sejuk dan segar. Di bawah, lampu bandar masih bersinar meriah. Penduduk biasa sedang menikmati kehidupan malam mereka.
Zen dan Wilfred memandang tanpa bicara buat seketika. Mereka berdua tahu, bermula malam ini, hidup mereka akan berubah sepenuhnya. Bukan lagi di bawah sana.
“Lama betul tak jumpa kau depan-depan,” kata Zen sambil bersandar pada pagar balkoni yang sejuk. “Nak jumpa di Zoran pun dah susah sekarang.”
Wilfred ketawa kecil. “Maaflah. Aku sibuk dengan urusan Zenith.”
“Tenang, kawan. Aku faham semuanya,” balas Zen sebelum menambah, “Tapi… aku masih tak percaya semua ini. Dah jauh kita sampai.”
“Setuju. Aku masih rasa semua ini macam mimpi,” sokong Wilfred. “Kita bina Zenith dari kosong. Tapi, kita sekarang ini cuma selangkah lagi untuk jadi Guild Empat Bintang.”
Dia menoleh ke arah Zen. “Kau tahu apa maksudnya kan?”
Zen mengangguk. “Varland’s Tier 2 Guilds. Masuk saja dalam senarai tu, tiada siapa boleh pandang rendah pada kita lagi selepas ini.”
“Betul.” Wilfred ketawa. “Lepas ni gelanggang kita bukan di Bandar Avalon lagi.”
Senyuman Zen melebar. Dia berpaling dan menikmati pemandangan bandar.
“Esok,” gumamnya, lebih kepada dirinya sendiri, “Kita akan teroka dan takluk Grey Mountain’s Dungeon.”
“Yang Dungeon Boss dia cacing gergasi tu?”
Zen mengangguk.
“Kejap. Kejap,” pintas Wilfred sambil ketawa. “Kau yakin? Bukan ke level pasukan kita belum mencukupi lagi?”
Sengaja dia menyoal begitu. Dia tahu jika Zen berkata sedemikian, Zen bukan ingin kedengaran hebat atau berlagak. Zen pasti ada rancangannya yang tersendiri.
“Kita boleh,” balas Zen, yakin. “Kita ada kau, aku dan mereka yang lain. Cuma kita perlu gerakkan semua ahli terkuat kita kali ini.”
“Tak berisiko?”
“Tak,” balas Zen pantas. “Kau bayangkan segala ganjaran bila kita jadi yang pertama menakluk dungeon tu. Pengumuman sistem, liputan—”
Bicaranya terhenti. Dia dapat rasakan ada satu objek yang tajam dan sejuk, menembusi dadanya dari belakang. Nafasnya tersekat. Dia dapat rasakan sesuatu ingin keluar dari mulutnya. Dia cuba untuk bersuara namun darah pekat dan banyak yang tersembur keluar.
Perlahan-lahan, dia menoleh.
Dia dapat melihat tangan Wilfred berlumuran darah. Nafasnya tenang seolah-olah apa yang dilakukan itu sungguh senang. Matanya memandang tepat ke arah mata Zen.
“Wil… Wilfred?”
“Maaf Zen,” ujar Wilfred, suaranya perlahan. “Maafkan aku.”
“Ke.. kenapa…”
Wilfred bergerak sedikit ke hadapan, memeluk Zen lalu berkata, “Kau… terlalu menyerlah. Terlalu kuat. Kau bukan saja ancaman kepada mereka yang lain. Tapi…”
Wilfred menekan pisau yang masih tertancap di belakang Zen dengan kuat sebelum menembusi dadanya.
“Kau juga sudah menjadi ancaman buat aku,” sambung Wilfred. “Zenith hanya perlukan satu Hero. Begitu juga Zoran. Dan Hero itu seharusnya… aku.”
“Kenapa…” Lutut Zen menggeletar. Kekuatan beransur-ansur hilang dari kakinya. Dia mengangkat tangan kanannya, ingin mencapai Wilfred. Tapi, Wilfred terlebih dahulu mengundur. Menjauhi Zen.
Pandangan Zen semakin kabur. Soalan ‘Kenapa?’ masih lagi berulang-ulang di dalam mindanya. Dia tidak faham semua ini. Apa salahnya jika mereka menuju ke puncak Zoran bersama-sama? Bukankah selama ini dia ikhlas membantu Zenith dan tidak pernah menggugat kedudukan Wilfred? Bukankah dia yang bertungkus-lumus menaikkan nama Zenith dan Wilfred sebagai Ketua Guild?
Bunyi muzik dari dalam mulai kedengaran sayup. Tiada lagi pandangan atau bunyi yang jelas pada derianya. Tubuhnya laju jatuh menghempas lantai marmar. Warna merah darah membasahi tuksedo merah saganya. Wilfred bergerak perlahan ke hadapan sebelum mencabut pisau pada belakang Zen. Dia mengesat darah pada bilah pisau itu di tuksedo Zen sebelum berpusing dan melangkah tenang untuk kembali ke majlis yang baru sahaja bermula.
Jari-jemari Zen kelihatan bergerak di atas marmar yang sejuk.
Sekali. Itu sahaja yang mampu dia gerakkan.
Kemudian tiada lagi. Seluruh tubuhnya kaku. Seluruh dunianya gelap.
Tidak lama kemudian, berita Zen Voss meninggal dunia gempar. Namun, ceritanya berbeza sama sekali.
Tiada siapa tahu bahawa dia mati di tangan sahabat baiknya sendiri.