Switch Mode

Pemburu Magis: Leon – Bab 7

Bongkak

Leon mengetap bibir, menahan rasa gatal di tangannya yang meronta-ronta untuk terus melepaskan tembakan. Eksperimen gilanya terpaksa dihentikan. Walaupun dia masih belum berasa letih, rancangannya hari ini masih panjang.

“Tak boleh buang masa,” gumamnya sambil melangkah mendekati kristal hijau yang bersinar terang di tengah-tengah Ruang Cabaran Ketua Sarang itu. Sebaik sahaja telapak tangannya melekap pada permukaan sejuk artifak tersebut, tubuhnya ditarik oleh satu daya yang kuat. Pandangannya berpinar seketika sebelum dia dimuntahkan kembali ke dunia realiti, tepat di luar monolit biru Syurga Mawas.

Kemunculan Leon yang keseorangan dari pintu sarang raksasa itu pantas mengundang renungan pelik daripada beberapa kumpulan Pemburu di situ.

“Satu pasukan budak tu mati ke? Atau kita ada Pemburu elit kat sini?” usik seorang Pemburu berbadan tegap kepada rakannya, suaranya sengaja dikuatkan.

“Hah! Elit apa bendanya?” Rakannya membalas sambil tersenyum sinis. Matanya tajam mengimbas baju kelabu lusuh dan beg galas nipis di bahu Leon. “Kau pernah tengok Pemburu Elit pakai macam tu?”

“Maaf budak. Aku turut bersimpati pada nasib kawan-kawan kau.”

Beberapa orang Pemburu lain turut tertawa sinis.

Leon sekadar membuang pandang. Dia sedar, penampilannya yang daif ini langsung tidak setaraf dengan aura seorang Pemburu Gred C ke atas. Memandangkan dia masuk secara solo hampir satu jam setengah yang lalu, mereka pasti menyangka ahli pasukannya telah menjadi lauk raksasa.

Lantak kau oranglah nak fikir apa, balas Leon di dalam hati. Peliknya, dia semakin lali dan langsung tidak terkesan dengan pandangan sinis manusia sekeliling.

Langkahnya terus diatur tenang melepasi kumpulan-kumpulan lain dan juga beberapa Pemburu yang membuka jualan item, senjata dan teras, menuju ke satu petak khas berhampiran tembok.

Beberapa buah kenderaan berderet menanti pelanggan. Kawasan ini dikhaskan untuk perkhidmatan Pengangkutan Pemburu—manusia biasa yang mencari makan dengan membawa para Pemburu.

Risiko pekerjaan mereka amat tinggi. Tersilap melayan angin Pemburu yang tidak stabil emosinya, pemandu itu boleh mati dibakar atau dipatahkan leher sekelip mata.

Seorang lelaki pantas keluar dari perut sebuah kereta klasik berwarna hitam, mempamerkan senyuman profesional.

“Perlukan kenderaan, Encik Pemburu?” sapanya berhati-hati.

Leon mengangguk. Dia segera melangkah masuk ke tempat duduk belakang. “Gurun Beku.”

Sepanjang perjalanan yang memakan masa dua puluh lima minit itu, keadaan di dalam kereta sepi. Leon melemparkan pandangan ke luar tingkap. Fikirannya kembali ligat menyusun jadual untuk beberapa hari mendatang. Jika dia mahu kekal tidak dikenali, dia tidak boleh membersihkan sarang raksasa yang sama berturut-turut.

Sebaik sahaja kenderaan itu membelok masuk ke sebuah kawasan lapang yang lengang, sebuah lagi monolit gergasi menjulang tinggi di hadapan mereka.

Leon mengecilkan mata. Monolit kali ini memancarkan cahaya biru, namun dihiasi rona jingga di hujungnya.

Cahaya jingga. Patutlah tak ramai yang berani ke sini, fikir Leon.

Gurun Beku adalah sarang raksasa Gred E yang kurang digemari kerana cuaca kesejukan melampaunya. Ramai Pemburu amatur menolak untuk membersihkan kawasan ini, menyebabkan sarang tersebut sering tidak stabil sehingga pihak kerajaan terpaksa menghantar tentera elit untuk pembersihan berkala.

Namun bagi Leon, kekurangan manusia bermakna kurang mata yang memandang. Satu pusingan pembersihan dan perburuan di sini pasti menjanjikan hasil dua kali ganda lebih lebat berbanding Syurga Mawas.

Leon menyerahkan bayaran tambang yang agak mahal sebelum melangkah keluar. Kad Lesen Pemburu dikeluarkan lalu ditunjuk kepada pengawal bertugas di muka pintu. Dua orang pengawal itu sekadar mengerling, tanpa mempedulikan maklumat pada kad Leon. Sebaliknya pandangan mereka menghala ke arah jaket nipis Leon, lalu menggelengkan kepala sesama sendiri tanpa berkata apa-apa.

“Aku bukannya datang nak tempah maut,” gumam Leon perlahan, berasa kurang senang melihat reaksi pengawal tersebut yang memandang rendahnya.

“Kau cakap apa?”

Sergahan kasar itu memecah kesunyian. Salah seorang pengawal itu melangkah ke hadapan, menghalang laluan Leon. Susuk tubuhnya sasa dan tegap. Dia bukan pengawal keselamatan biasa; dia adalah seorang Pemburu Gasar Gred E. Setiap derapan kasut butnya menggegarkan sedikit permukaan tanah, menerbangkan debu.

Leon mendongak. Kalau semalam, dia pasti sudah menunduk meminta maaf dan beredar pergi. Namun hari ini, kuasa yang membuak-buak di dalam dadanya mula menerbitkan rasa bongkak. Dia tidak berundur walau setapak. Sebaliknya, satu senyuman sinis meleret di bibirnya.

Belum sempat pengawal itu mendekat untuk mencengkam kolar bajunya, tangan kanan Leon diangkat separuh.

Hanya dengan satu lintasan niat, sebiji bebola api yang termampat padat meluncur berdesup membelah udara.

BOOM!

Letupan itu meledak tepat di hujung but pengawal tersebut. Tanah dan debu berterbangan, menampar kasar wajah lelaki bertubuh sasa itu. Langkahnya terhenti secara mengejut. Matanya terbeliak luas menahan bahang panas yang meruap naik, memaksa tubuhnya terundur ke belakang.

Namun, Leon tidak berhenti di situ. Matanya mencerlung tajam merenung pengawal berkenaan. Lengannya terus melepaskan tembakan bebola api ke arah titik sasaran yang sama tanpa henti.

Udara di sekeliling mereka bergetar hebat. Asap tebal berkepul-kepul naik menyelubungi kawasan pintu masuk. Beberapa orang Pemburu yang sedang berbual di sekitar khemah jualan terus terdiam. Segala aktiviti di luar Gurun Beku terhenti. Mata mereka semua tertumpu ke arah kelibat budak lelaki berjaket lusuh yang sedang melepaskan bedilan ibarat mesingan itu.

“…tiga puluh tujuh… tiga puluh lapan…”

Sayup-sayup kedengaran suara seorang Pemburu tua sedang mengira dengan lantang, suaranya bergetar tidak percaya.

Letupan terus meledak bertali arus, memanggang tanah tanpa belas kasihan.

“…empat puluh lapan… empat puluh sembilan… lima puluh!”

Pada tembakan yang kelima puluh satu, Leon akhirnya menurunkan tangan. Sisa nyalaan apinya terpadam. Asap tebal perlahan-lahan ditiup angin sejuk, mendedahkan sebuah kawah kecil yang merah menyala tepat di hujung kasut but pengawal tadi.

Pengawal Pemburu Gasar Gred E itu menelan air liur. Kakinya secara refleks berundur tiga tapak ke belakang. Lututnya menggeletar menahan gerun.

Di sekeliling mereka, suasana sepi ibarat tanah perkuburan.

“Lima puluh das berturut-turut… dan dia tak penat langsung?” bisik seorang Pemburu dari kejauhan, memecahkan kesunyian.

“Gila. Budak tu langsung tak berpeluh. Tangan dia tak menggigil pun lepas perah tenaga magis macam tu. Gred apa dia ni? B? C?” celah seorang lagi, matanya tidak berkelip memandang belakang tubuh Leon.

Leon membetulkan tali beg galasnya. Dia langsung tidak mempedulikan renungan penuh gerun dan hormat yang kini terarah kepadanya. Tanpa menoleh ke arah pengawal yang masih terkaku pucat itu, Leon memusingkan badan dan terus melekapkan tangannya pada pintu monolit Gurun Beku.

Swoosh!

Tubuhnya ghaib sekelip mata.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset