Switch Mode

Taktikal Hati – Bab 7

Hujan

Mendengar jawapan itu, riak wajah Zakwan yang tegang perlahan-lahan bertukar rileks. Matanya melirik sekilas ke arah Aina.

“Rumah nombor berapa?”

Kening Aina makin bertaut. “Nombor 96. Kenapa?”

“Oh. Sama jalan.”

“Sama jalan?” Mata Aina membulat sedikit. “Maksudnya… rumah kau kat situ juga ke?”

Zakwan hanya mengangguk sekali. Bibirnya kembali terkunci rapat, langsung tidak berniat untuk berkongsi maklumat lanjut mengenai nombor rumahnya.

Melihat kedinginan remaja itu, Aina cuba merungkai kesunyian yang mula merengsakan suasana. Hujan lebat di luar perhentian bas masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda. Daripada melayan kecanggungan, lebih baik dia gunakan masa ini untuk berbasa-basi.

“Aku Aina,” ucapnya berani, cuba memperkenalkan diri secara rasmi. “Kau mungkin tak perasan tadi, tapi aku budak baru, masuk kelas 3 Alpha hari ni.”

“Aku tahu.” Pendek dan padat jawapan itu. “Aku Zakwan.”

Namun, gaya acuh tak acuh Zakwan itu tidak membuatkan Aina berasa meluat. Sebaliknya, ia menerbitkan rasa ingin tahu yang semakin tebal. Ditambah pula dengan ingatannya pada usikan dan ‘gelaran’ yang dilemparkan oleh Johan di dalam kelas tadi.

“Johan ada cakap… kau pelajar biasiswa,” celah Aina. Dia menyusun ayat di dalam kepala, berhati-hati agar pertanyaannya tidak mengguris hati pemuda itu. “Sekolah elit macam akademi ni pun ada tawarkan biasiswa ke? Selalunya kalau masuk kolej atau universiti barulah benda-benda ni ada.”

Tanpa dipaksa, minda Aina terus melayang teringatkan senario di Amerika Syarikat. Di sana, biasiswa sukan mahupun akademik ibarat ‘tiket emas’ yang menjadi buruan setiap pelajar. Walaupun keluarganya lebih daripada mampu untuk menanggung yuran penuh pengajiannya sehingga tamat universiti, ia tetap menjadi impian Aina untuk memiliki biasiswa.

Jika dia layak menerima biasiswa, ia adalah satu kebanggaan peribadi. Dalam situasi sekarang pula, setidak-tidaknya dia dapat meringankan beban perbelanjaan ibunya.

Zakwan mengangguk. “Sekolah menengah lain pun ada je tawarkan biasiswa. Cuma, biasiswa aku ni… unik sikit.”

Hujan panas masih rancak menari di atas bumbung perhentian bas. Menyedari beberapa orang awam yang turut berteduh di situ, Aina selesa memanjangkan perbualan.

“Unik macam mana tu?” Aina membetulkan sedikit kedudukan tali beg galasnya yang melorot. “Maaf kalau soalan ni bunyi bodoh. Aku memang baru lagi dengan sistem pendidikan kat Malaysia.”

Buat pertama kalinya sejak mereka berdiri bersebelahan, Zakwan menoleh sepenuhnya. Anak mata lelaki itu merenung tepat ke wajah Aina, mempamerkan sedikit tumpuan.

“Kau bukan dari sini ke?”

Aina menggaru pelipisnya yang langsung tidak gatal. Bagaimana dia mahu merumuskan sejarah hidupnya tanpa kedengaran meleret?

“Erm… Mama aku orang Malaysia. Papa aku pula orang Jepun. Tapi, aku lahir dan membesar kat Amerika.”

Zakwan mengangguk perlahan. Bebola matanya seakan-akan sedang meneliti riak wajah eksotik gadis di hadapannya itu. “Patutlah…”

“Patutlah apa?”

“Err… Tak ada apa. Aku pun bukan lahir kat sini,” ujar Zakwan laju, seolah-olah ingin mencantas pujian yang hampir terpacul dari mulut Aina. Pandangannya pantas dibuang ke arah takungan air di jalan raya. “Aku lahir kat Sweden. Arwah ibu aku orang sana. Arwah bapa aku orang Malaysia.”

Mendengar pendedahan itu, segala teka-teki terus terjawab di dalam minda Aina. Patutlah struktur fizikal Zakwan nampak begitu berbeza—tegap, tinggi, dan berotot biarpun baru berusia lima belas tahun. Susuk tubuh yang diwarisi daripada gabungan genetik Eropah dan Asia rupanya.

Namun, sebaris perkataan tadi lebih pantas menangkap saraf pendengaran Aina. Arwah?

“Oh… maaf. Aku tak tahu ibu bapa kau dah tak ada,” ucap Aina lambat-lambat. Rasa serba salah terus memukul dada apabila menyedari dia mungkin telah menggali luka lama.

“Tak ada masalah,” balas Zakwan tenang. Riaknya kekal beku, menyembunyikan segala riak emosi. “Dah lima tahun.”

Aina pantas menelan air liur. Dia mesti menukar haluan perbualan ini sebelum aura mendung menyelubungi ruang perhentian bas itu.

“Jadi… berbalik pada cerita biasiswa tadi. Macam mana kau boleh dapat? Boleh mohon ke?” tanya Aina, sengaja menceriakan nadanya. Di kepalanya, dia sudah mula merancang untuk meminta borang permohonan keesokan harinya.

Jawapan balas Zakwan, bagaimanapun, membuatkan Aina berasa mahu menampar bibirnya sendiri.

“Aku dapat biasiswa tu…” Zakwan menoleh semula, merenung tepat ke dalam mata Aina. “…sebab ibu bapa aku mati.”

Nafas Aina serta-merta tersekat di kerongkong. Suasana terasa sedikit kekok. Dia menepuk dahi sekali. Aduh. Kenapa soalan-soalan aku jadi berkait dengan cerita sedih ni?

Zakwan hampir ketawa melihat reaksi Aina. Dia faham gadis itu pasti berterusan rasa serba-salah. Untuk mengelakkan suasana menjadi semakin kekok, dia menyambung bicara.

“Keluarga aku antara penyumbang dana terbesar masa akademi ni mula-mula ditubuhkan dulu. Arwah abang dengan kakak aku pun pernah bersekolah kat sini,” jelas Zakwan. Nadanya mendatar, seolah-olah dia sedang membacakan manuskrip kisah hidup orang lain. “Jadi, bila ibu dan bapa aku meninggal dunia dalam kemalangan, pihak sekolah terus tawarkan biasiswa penuh untuk aku sampai habis belajar. Kira macam balasan budi atas jasa keluarga akulah.”

Zakwan menoleh sekilas ke arah wajah Aina yang masih serba-salah itu.

“Tapi… biasiswa tu bersyarat. Aku wajib kekalkan straight As untuk setiap mata pelajaran dalam semua peperiksaan utama. Kalau gagal walau sekali, biasiswa tu akan ditarik balik serta-merta.”

Aina memejamkan matanya rapat. Sebenarnya, otak dia sudah kebas dan gagal menterjemah apa-apa penjelasan tambahan Zakwan sebaik sahaja ayat ‘sebab ibu bapa aku mati’ itu singgah di telinganya. Apa yang lebih memilukan, dia membuat kesimpulan seluruh keluarga Zakwan telah meninggal dunia.

Itulah kau, Aina. Sibuk sangat hal orang, kutuknya di dalam hati. Perutnya memulas menahan rasa tegang.

“Serius… aku betul-betul minta maaf,” ucap Aina perlahan. “Semua soalan aku jadi buatkan kau teringat arwah keluarga kau.” Wajahnya ditundukkan merenung hujung kasut, menahan diri dari menyoal lanjut.

Tapi… apa yang jadi kat keluarga di sebenarnya? Kemalangan ke? Aina menggelengkan kepalanya laju-laju. Sudah, Aina. Jangan banyak tanya.

Zakwan masih menahan ketawa melihat reaksi Aina itu. Dia membiarkan matanya merenung gadis yang jelas sedang diasak rasa serba salah itu. Perlahan-lahan, ketegangan pada rahang pemuda itu mula mengendur, dan hujung bibirnya membentuk satu senyuman.

Buat pertama kalinya sejak insiden ‘kongsi payung’ ini bermula, Aina melihat wajah kacak itu tersenyum. Manis dan mendamaikan.

“Tak apa. Benda dah lama. Aku pun dah reda terima takdir tu.”

Perbualan mereka bernoktah di situ. Deru hujan panas yang tadinya turun mencurah, kini beransur reda. Biasan cahaya mentari petang kembali menguasai langit, sekadar meninggalkan sisa rintik-rintik halus yang sesekali menampar pipi ditiup angin.

Aina cepat-cepat mengambil peluang itu. Dia memajukan langkah, memisahkan diri keluar dari teduhan perhentian bas.

“Dah reda sikit ni. Tak payahlah kau susah-susah nak terus payungkan aku sampai ke rumah,” tolak Aina. Dia mahu melarikan diri dari situasi yang mula membuahkan rasa janggal. “Tak elok orang sekeliling tengok kita berkongsi payung, jalan rapat-rapat berdua macam ni. Mak Su aku tu dahlah garang, pantang kalau nampak benda-benda macam ni.”

Zakwan terdiam sejenak. Matanya redup meneliti wajah Aina.

Tanpa sebarang amaran, hulu payung lutsinar yang besar itu terus ditolak kemas ke tangan gadis itu.

“Nah. Kau ambil payung ni.”

“Eh?” Aina terkejut besar. Kalut tangannya menyambut pemegang payung tersebut sebelum ia jatuh terhempas ke bumi. “Habis tu, kau nak pakai apa?”

“Tak apa. Risau kalau tiba-tiba hujan lebat semula. Aku boleh lari,” balas Zakwan bersahaja.

Usai menitipkan balasan ringkas itu, Zakwan berpusing. Tanpa memberi ruang untuk Aina membantah, pemuda itu terus memecut lari meredah sisa hujan renyai. Ritma lariannya cukup laju, tangkas dan bertenaga—menguatkan lagi kesimpulan Aina bahawa Zakwan memang seorang atlet.

Baru sahaja mindanya tenang seketika, Aina tiba-tiba tersentak. Dia terlupa sesuatu yang amat penting!

“Zakwan! Kejap!” jerit Aina. Paniknya melantun naik, membuatkan suaranya meninggi membelah suasana petang. Beberapa orang awam di perhentian bas itu terus berpaling memandangnya.

Dengar sahaja namanya dipanggil, tapak kasut Zakwan bergeser kuat pada permukaan jalan tar, mematikan larian secara mengejut. Dia berpusing ke belakang. Keningnya berkerut pelik memandang Aina dari kejauhan.

“Kenapa?” laung Zakwan melawan bunyi kenderaan.

Aina mengetap bibir bawahnya sekuat hati. Kalau diikutkan rasa malu, mahu sahaja dia menyorokkan mukanya di sebalik payung lutsinar itu.

“Aku… aku tak tahu jalan nak balik rumah!”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset