Switch Mode

Taktikal Hati – Bab 1

Aina

Haba musim panas California membahang, memerah keringat yang mula merenik di dahi Aina. Bau rumput sintetik bercampur peluh tengik menusuk hidung, namun gadis itu langsung tidak mempedulikannya. Jersi nombor sembilannya berkibar rancak saat dia memacu langkah, membelah benteng pertahanan lawan dengan lincah.

“Shoot, Aina! Just shoot!” laung jurulatih dari garisan tepi padang. Urat leher lelaki itu menegang teruja.

Aina tersenyum. Dia tidak perlu diarah dua kali. Hujung butnya mencengkam rumput, mengunci posisi tubuh sebelum kaki kanannya diayun deras. Kekura but bertemu permukaan bola kulit itu dengan ketepatan mutlak. Tiada amaran. Hanya kekuatan fizikal yang dilepaskan sepenuhnya.

Bola berdesup membelah udara, melepasi jangkauan penjaga gol yang sekadar mampu terkebil-kebil, lalu menggegar jaring gawang Akademi Seattle Storm, wakil Washington.

“GOOAAAALL!”

Gegaran dari hentakan kaki ratusan penonton di ruang duduk utama seakan-akan mahu meruntuhkan struktur stadium mini itu.

“Aina! Aina! Aina!”

Sorakan bergemuruh meledak, bergema melaungkan namanya berulang kali. Suasananya cukup bingit, cukup meriah. Aina mengesat peluh di dagu dengan lengan baju, membiarkan dadanya berombak kencang menahan rasa mengah. Di hujung matanya, dia perasan deretan lelaki bersut kemas—ejen-ejen pencari bakat antarabangsa—sedang rancak berbisik sesama sendiri sambil mencatat sesuatu dengan riak teruja.

Mereka tahu, magis yang dicipta oleh gadis berusia lima belas tahun ini bakal melayakkannya menyarung jersi skuad Bawah 17 Tahun Amerika Syarikat. Statusnya sebagai seorang Muslimah berhijab langsung tidak menutup mata mereka daripada melihat potensi gergasi itu.

Namun, bukan pengiktirafan ejen-ejen itu yang didambakan oleh Aina.

Bebola matanya meliar laju ke arah bangku VIP. Senyumannya terus mekar dan lebar saat susuk tubuh bapanya yang sedang berdiri tegak dan bertepuk tangan bangga menyapa pandangan. Di sisi lelaki itu, ibunya turut mengukir senyuman yang paling manis.

Di bangku VIP itu, riuh-rendah dan gegaran stadium langsung tidak mengganggu perbualan ringkas pasangan suami isteri tersebut.

“Abang rasa, bila tiba masanya nanti… jersi negara mana yang Aina akan sarung?” soal Maisarah lembut. Sepasang matanya langsung tidak berkalih menyoroti langkah anak gadisnya yang sedang dipeluk rakan sepasukan di tengah padang.

Kazuha tertawa kecil. Fasih lidah lelaki berdarah Jepun itu membalas dalam bahasa Melayu. “Kenapa? Kem Amerika dah mula mendesak?”

“Bukan setakat kem Amerika. Wakil Persatuan Bola Sepak Jepun pun tak henti-henti hantar e-mail. Maklumlah, nama Aina Kazuha sekarang tengah memuncak.” Maisarah membetulkan cermin matanya. Tanpa kepakaran wanita itu sebagai pakar perunding pematuhan halal antarabangsa, mustahil keluarga mentuanya dari Jepun mampu membina empayar perniagaan halal di bumi Amerika ini. “Malah… wakil dari Malaysia pun ada merisik.”

Kazuha pantas mengangkat kening. “Kejap… awak ada terfikir nak dia balik berbakti kat Malaysia?”

Maisarah mengeluh halus, sekadar tersenyum tawar. Kepalanya digelengkan. “Semua ejen nasihatkan benda yang sama. Jangan pilih Malaysia. Laluan kat sana pilihan terakhir. Sayang kalau bakat besar macam Aina terbantut, tak ada liga kompetitif. Tapi… saya serahkan pada dia. Dia lebih tahu ke mana kaki dia patut melangkah. Tugas saya? Sekadar menyokong.”

Kazuha mengangguk, bersetuju sepenuhnya.

Tiupan wisel pengadil kembali bergema. Permainan bersambung.

Aina menarik nafas panjang, menyalurkan tumpuannya kembali ke tengah padang, bersedia untuk merobek gawang buat kali keenam. Tetapi, saat dia menoleh sekilas ke arah bangku VIP untuk mendapat suntikan semangat terakhir, langkah kakinya bagaikan dipasak ke bumi.

Ada sesuatu yang tidak kena.

Dari kejauhan, senyuman bangga di wajah bapanya lesap tanpa sisa. Kazuha kelihatan cemas merenung skrin telefon pintar di tangannya. Wajah lelaki separuh abad itu berubah pucat lesi, seolah-olah seluruh darah direntap keluar dari tubuhnya.

Tanpa sebarang amaran, peranti mahal itu terlepas dari genggaman, jatuh menghempas lantai simen.

Susuk tubuh Kazuha terus melorot, lalu rebah tumbang ke sisi badannya di hadapan khalayak ramai.

“Abang!”

Jeritan nyaring Maisarah mengoyak deru sorakan stadium.

Suara yang sarat dengan ketakutan itu merentap kasar jantung Aina. Dunianya di atas padang terhenti. Bingit sorakan penonton tiba-tiba tenggelam, digantikan dengan bunyi dengungan yang membingitkan di telinganya. Nafasnya tersekat di kerongkong. Haba musim panas serta-merta bertukar menjadi peluh dingin yang merenik di dahi.

“Move aside!” Pasukan paramedik kelam-kabut merempuh barisan penonton, mengusung kotak kecemasan. Keadaan yang tadinya meriah bertukar huru-hara dalam sekelip mata. Para penonton berdiri dalam kebingungan, terjengah-jengah mencari punca kekecohan.

“Papa!” Tanpa menunggu wisel penamat ditiup, Aina memecut deras meninggalkan padang hijau.

Bola sepak? Sorakan? Kemenangan?

Persetankan semua itu.

Dia memanjat pagar penghadang besi itu tanpa mempedulikan tangannya yang tercalar. Tubuh sesiapa sahaja yang menghalang laluannya dirempuh kasar semata-mata untuk merapati tubuh bapanya yang sudah terbaring kaku.

“Papa! Papa!” jerit Aina. Air mata panas mula mengaburkan pandangannya.

Seorang anggota paramedik pantas menolaknya ke tepi, meminta ruang untuk menyelamatkan nyawa. Aina terdorong ke belakang. Dia hanya mampu berdiri kaku di situ, lututnya menggeletar hebat merenung wajah pucat bapanya, menanti sekelumit keajaiban agar lelaki itu membuka mata kembali.

***

Deruman enjin pesawat Boeing yang membelah awan malam langsung tidak mampu menenangkan gelora di dalam dada Aina.

Hembusan pendingin udara di dalam kabin kelas pertama itu terasa mencengkam ke tulang. Aina duduk bersandar, memeluk tubuh erat-erat. Pandangannya dilemparkan kosong ke luar tingkap pesawat yang hanya menyajikan kegelapan mutlak, tanpa sebutir bintang.

Di kerusi sebelah, bunyi esakan Maisarah belum juga reda. Tisu di tangan ibunya sudah lencun menyerap air mata yang tidak henti-henti mengalir sejak tragedi ngeri di stadium tempoh hari.

Aina memejamkan matanya rapat-rapat. Bau antiseptik hospital, suara panik paramedik, dan tubuh kaku bapanya yang disambungkan pada mesin hayat terus-menerus menghantui ruang di dalam mindanya. Enggan pergi.

Semuanya berlaku terlalu pantas. Beberapa hari lalu, dia adalah bintang harapan yang diangkat dijulang di padang hijau. Namun hari ini, dunianya hancur berkecai menjadi debu. Air mata yang sedaya-upaya ditahan dari tadi akhirnya luruh jua membasahi pipi yang sejuk.

“Tuan-tuan dan puan-puan…” Suara ketua pramugari bergema dari corong pembesar suara, perlahan-lahan menarik Aina kembali ke alam realiti. “…pesawat kita sedang bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.”

Aina tidak berminat untuk mendengar lebih lanjut. Matanya dikesat kasar dengan hujung lengan baju.

Tidak lama lagi, kakinya akan menjejak bumi Malaysia. Tanah air ibunya, namun terasa begitu asing buat dirinya. Ini adalah sebuah kepulangan yang tidak pernah dirancang dan sama sekali tidak diundang.

Tanpa bola sepak. Tanpa sorakan.

Dan yang paling memilukan, hanya dia, ibunya, dan sebuah kehilangan besar yang seakan-akan merentap dan menguburkan segala impiannya di dasar yang paling gelap.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset