Sementara itu, jauh di tingkat paling atas sebuah menara cerap rahsia, sesuatu yang sama sekali di luar pengetahuan manusia biasa sedang berlaku.
Tepat di tengah-tengah ruang yang malap tersebut, sebuah papan pendahulu hologram gergasi sedang terapung di udara. Pada paparan bercahaya itu, tertera dengan jelas deretan nama berserta jumlah mata terkumpul bagi seribu orang individu.
Mereka adalah manusia-manusia terpilih yang mempunyai kuasa istimewa dalam darah mereka, kini saling berentap dalam sebuah cabaran.
=====
PUSINGAN SARINGAN PERTAMA: BANDAR METRO SELATAN
=====
01. Gideon — Pewaris Wangsa Karo [14,500 Mata]
02. Vane — Pewaris Wangsa Viteri [12,200 Mata]
03. Kael — Pewaris Wangsa Karo [11,050 Mata]
04. Tirus — Pewaris Wangsa Viteri [9,800 Mata]
05. Zoya — Pewaris Wangsa Karo [8,100 Mata]
06. Nura — Pewaris Wangsa Sura [6,400 Mata]
07. Rigs — Pewaris Wangsa Pascolli [5,900 Mata]
08. Vesper — Pewaris Wangsa Sura [5,100 Mata]
09. Olen — Pewaris Wangsa Karo [4,800 Mata]
10. Silas — Pewaris Wangsa Avera [4,000 Mata]
… …
1000. Sang-O — Pewaris Wangsa Sona [1,200 Mata]
=====
“Aku berani potong jari kau, Pewaris Wangsa Karo yang akan menang,” kata Goru sambil leka mengunyah kepingan logam berkarat seolah-olah ia keropok. Wajahnya yang bersisik kelabu tebal dan bertanduk besi itu persis seekor biawak gergasi. “Tengok sajalah senarai tu. Tiga daripada lima kedudukan teratas dikuasai oleh mereka. Bilangan mereka lagi ramai.”
“Dah kenapa nak potong jari aku pula? Potonglah jari kau sendiri,” pangkas Zox di sebelahnya. Empat biji mata merah menyala milik Zox mengecil, manakala rahang kelulinya bergeser kasar setiap kali dia bersuara. “Bagi aku, mereka dari Wangsa Viteri jauh lebih menarik. Cuma… kerap sangat main kotor.”
“Dua-dua pun sampah.”
Satu suara mencelah dari atas. Vael sedang terapung bersila di udara. Tubuhnya lutsinar seperti obor-obor, memancarkan aura cahaya biru yang lembut.
“Kau orang jangan buat-buat lupa,” sambung Vael dengan nada bosan. “Ini Bandar Metro Selatan. Tempat buangan. Yang dihantar ke sini semuanya sekadar Wangsa Bawahan. Malah, bukan Pewaris yang terkuat pun dalam keluarga mereka.”
Vael membuang pandang ke arah hologram gergasi itu. “Wangsa Karo? Wangsa Viteri? Tolonglah. Dah masuk enam bulan pusingan saringan berjalan, tapi gaya bertarung masih macam budak-budak berebut mainan.”
Goru mendengus kasar. Serpihan karat menyembur keluar dari mulutnya. “Habis tu, nak buat macam mana? Dah memang nasib kita ditugaskan jadi Pemerhati untuk zon buangan macam ni. Duduk dan tengok sajalah—”
ZAPP!
Belum sempat Goru menghabiskan ayatnya, papan hologram di tengah-tengah ruang itu berkelip liar.
Segala huruf dan angka pada skrin berubah-ubah laju. Data-data bertindih sesama sendiri sebelum seluruh paparan itu bertukar menjadi merah menyala. Cahayanya menyilaukan seisi bilik.
Zox pantas merapati skrin. Keempat-empat matanya terkebil-kebil mencari kepastian. “Apa hal ni? Sistem rosak ke?”
Tiada siapa yang menjawab. Sebaliknya, satu notifikasi amaran bersaiz gergasi tiba-tiba muncul di tengah skrin, disusuli dengan bunyi siren nyaring yang terus memecah kesunyian menara cerap tersebut.
[ANOMALI DIKESAN: BANDAR METRO SELATAN]
[PENYERTAAN BAHARU DIDAFTARKAN SECARA PAKSA]
“Penyertaan baharu?” Vael melayang turun perlahan-lahan, mendarat di atas lantai. Wajahnya berkerut. “Pusingan Saringan Pertama dah bermula enam bulan lepas. Macam mana boleh ada penyertaan baru?”
[KEMAS KINI PAPAN PENDAHULU]
Data pada skrin bergulung laju, turun melepasi ribuan nama tersebut sebelum berhenti tepat di posisi yang paling bawah sekali. Satu barisan data baharu terpapar, menduduki tempat terakhir di dalam papan pendahulu tersebut.
=====
PUSINGAN SARINGAN PERTAMA: BANDAR METRO SELATAN
=====
01. Gideon — Pewaris Wangsa Karo [14,500 Mata]
02. Vane — Pewaris Wangsa Viteri [12,200 Mata]
03. Kael — Pewaris Wangsa Karo [11,050 Mata]
04. Tirus — Pewaris Wangsa Viteri [9,800 Mata]
05. Zoya — Pewaris Wangsa Karo [8,100 Mata]
06. Nura — Pewaris Wangsa Sura [6,400 Mata]
07. Rigs — Pewaris Wangsa Pascolli [5,900 Mata]
08. Vesper — Pewaris Wangsa Sura [5,100 Mata]
09. Olen — Pewaris Wangsa Karo [4,800 Mata]
10. Silas — Pewaris Wangsa Avera [4,000 Mata]
… …
1000. Sang-O — Pewaris Wangsa Sona [1,200 Mata]
1001. Arka – Pewaris Wangsa Halilintar [0 Mata]
=====
Bunyi amaran nyaring tadi mati secara mendadak. Ruang menara cerap itu serta-merta diselubungi kesunyian yang mencengkam.
Kepingan logam yang separuh lumat di dalam mulut Goru terlepas, jatuh berdeting ke atas lantai.
“Biar… betul,” suara Zox akhirnya memecah kesunyian. Rahang kelulinya terketar-ketar menahan debaran. “Wangsa Halilintar? Mereka salah satu daripada Lima Wangsa Agung!”
Tanpa membuang masa, jari-jemari lutsinar Vael menari laju di atas papan konsol kawalan. “Tapi… macam mana wakil Wangsa Agung boleh muncul kat di kawasan begini?!”
Goru meraup wajahnya yang bersisik kasar. “Kita kena lapor pada Penguasa sekarang juga. Arahan mereka jelas. Mana-mana kawasan yang merekodkan kemunculan Pewaris Lima Wangsa Agung wajib dilaporkan serta-merta.”
“Tunggu sekejap.” Zox pantas mencelah.
Goru dan Vael menoleh serentak.
“Cuba kau orang tengok mata dia,” Zox menuding jari telunjuknya ke arah angka sifar bersebelahan nama baharu pada skrin hologram itu. “Dia sekarang di kedudukan paling bawah. Walaupun dia berdarah Wangsa Agung, aku rasa kuasa dia pasti baru sahaja dibangkitkan. Jadi, untuk pintas naik ke nombor satu, dia kena bertarung dan menang semua Cabaran Wangsa selepas ni. Dan itu… agak mustahil.”
Vael mengangguk perlahan, bersetuju dengan logik Zox. “Pusingan Saringan ni cuma berbaki tiga bulan saja lagi. Nak kumpul mata tu mungkin dia boleh buat, tapi untuk paksa kuasa dia berevolusi cukup pantas sebelum Cabaran Wangsa yang seterusnya? Aku rasa dia takkan sempat.”
Mendengarkan analisis itu, suasana kembali sepi. Jauh di sudut hati, ketiga-tiga Pemerhati ini sebenarnya teruja. Sudah sekian lama mereka mengidamkan perlawanan berkelas tinggi. Kemunculan Pewaris Halilintar pasti menjanjikan satu bentuk hiburan yang jauh lebih berdarah dan memuaskan.
Namun, keterujaan itu tidak bertahan lama.
Cahaya biru pada tubuh obor-obor Vael tiba-tiba berkelip lemah. Wajah lutsinarnya bertukar pucat lesi. Dia terkedu, mulutnya sedikit ternganga seolah-olah mindanya baru sahaja dilanggar oleh satu realiti yang sangat mengerikan.
“Dah kenapa dengan kau ni?” tegur Goru, pelik melihat perubahan drastik rakan setugasnya.
“Kita… terlepas pandang satu benda,” bisik Vael. Suaranya serak. Matanya langsung tidak beralih daripada nama Pewaris Wangsa Halilintar yang merah menyala di skrin. “Kalau Pewaris Halilintar dah wujud kat bandar ni… kau rasa siapa yang datang sekali dengan dia?”
Goru dan Zox kaku. Nafas mereka tersekat di dada apabila mereka faham apa yang dimaksudkan oleh Vael.
Penjaga Wangsa.
Wangsa Halilintar sangat digeruni dengan legenda Dua Belas Penjaga rahsia mereka. Ia bukanlah sekadar khabar angin kosong. Mereka adalah sekumpulan orang gila yang kekuatan mutlaknya jauh mengatasi batas mana-mana Pewaris, mahupun Penjaga dari Wangsa lain. Malah, sejarah gelap dunia itu mencatatkan bahawa setiap seorang daripada Dua Belas Penjaga ini memiliki kuasa yang cukup gila untuk menubuhkan Wangsa Agung mereka sendiri.
Dan hakikat yang paling menakutkan—tidak kira Penjaga nombor berapa sekalipun yang sedang menjejakkan kaki ke Bandar Metro Selatan sekarang, mereka bukanlah entiti yang sudi tunduk kepada arahan Penguasa. Apatah lagi mahu mempedulikan nyawa Tiga Pemerhati kelas bawahan seperti Goru, Zox, dan Vael.
Ketiga-tiga makhluk itu menelan liur serentak.
Tiba-tiba, tugas memantau Bandar Metro Selatan tidak lagi terasa seperti satu kerja membuang masa. Ia kini adalah satu perangkap maut.